Qada puasa adalah wajib ditunaikan terlebih dahulu sebelum
datangnya bulan Ramadhan berikutnya. Malah puasa sunat juga diharamkan untuk
dikerjakan sebelum mengqada’ puasa yang tertinggal sebelumnya.
Sekiranya tidak berkesempatan qada puasa sebelum datangnya
bulan Ramadhan berikutnya, maka kita diwajibkan membayar fidyah. Fidyah bererti
membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin.
Kadar fidyahnya mudah sahaja, iaitu sehari tinggal puasa
bersamaan dengan fidyah secupak beras untuk tahun pertama. Tahun berikutnya
digandakan mengikut tahun (lihat contoh mudah di hujung artikel ini).
Persoalan yang pertama, banyak mana sebenarnya ukuran
secupak beras?

Secupak beras adalah bersamaan dengan 556 gram, iaitu lebih
sedikit daripada setengah kilo, tetapi jauh lagi nak sampai satu kilo.
Dalam hal ini, satu perkara perlu diberi perhatian, iaitu
membayar lebih tidak mengapa, membayar kurang jangan sekali.
Persoalan yang kedua, kepada siapa seelok-eloknya kita
perlu membayar fidyah?
Ada pendapat yang mengatakan bayar fidyah lebih afdal terus
kepada fakir miskin, daripada melalui amil yang dilantik.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa lebih afdal
membayar fidyah melalui amil, kerana amil telah dilantik dengan cara tertentu
oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, bukan senang hendak mencari fakir miskin di
kawasan tempat tinggal kita.
Bagaimana pun menurut Imam Shafie, ikut mana-mana pendapat
yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri
masing-masing. Dalam hal ini mufti wajib diutamakan.
Ini kerana kedudukan mufti negeri adalah yang tertinggi
selepas sultan. Mufti negeri merupakan suara kepada sultan dalam bab agama.
Oleh sebab itu, wajib dituruti.
Sebab itu dalam Islam, mufti tidak perlu menjadi terkenal.
Seorang mufti adalah seorang yang senyap, tidak banyak berkata-kata,
bersembang, dan sebagainya yang boleh menjatuhkan kredibiliti seorang yang
berdarjat tinggi.
Kata seorang tokoh agama, seorang mufti tidak perlu ada
blog, tidak perlu terlibat dalam politik, dan sebagainya seperti seorang hakim
yang dilantik kerajaan.
Begitu juga keadaannya dengan Qadhi, yang kita lihat di
zaman sekarang lebih banyak berpolitik, bersosial dan sebagainya yang mana
sepatutnya kedudukan Qadhi adalah setaraf dengan hakim tadi.
Persoalan yang ketiga, berapakah nilai pendapatan yang
boleh diklasifikasikan sebagai fakir miskin?
Nilai fakir sebenarnya boleh diukur begini. Ambil RM10 untuk
buat pengukuran. Andaikan seseorang itu memerlukan RM10 sehari untuk
perbelanjaan harian, termasuk diri sendiri dan tanggungan di bawahnya.
Sekiranya pendapatannya sehari cuma RM3. Maka dia adalah
seorang fakir. Sekiranya pendapatannya RM7, maka dia adalah seorang yang
miskin.
Sekiranya pendapatannya RM10, maka dia seorang yang
sederhana. Sekiranya pendapatannya RM12, maka dia seorang yang berada.
Sekiranya pendapatannya RM18, maka dia seorang yang kaya.
Begitulah ukuran yang mudah digunakan. Di manakah kedudukan
anda?
Katakan anda perlu bayar rumah, kereta, tanah ladang, aset
sana sini, kad kredit, pinjaman peribadi, dan sebagainya, yang mana baki akhir
gaji anda menunjukkan bahawa anda hanya boleh berbelanja sebanyak RM3 sahaja
dalam sehari.
Di mana kedudukan anda? Sudah pasti, anda bukan seorang
fakir, kerana bukan nilai RM3 itu yang diambil kira, tetapi kesemua nilai yang
menjadi hak anda seperti rumah, kereta, tanah ladang, dan aset.
Jika anda tidak cukup makan kerana bebanan ini, boleh jadi
anda merupakan seorang yang boros atau tidak pandai merancang perbelanjaan.
Nasihat saya, dapatkan seorang penasihat kewangan (kena bayar lagi).
Persoalan yang keempat, selepas bayar fidyah, adakah
saya bebas dari hutang puasa?
Tidak, belum lagi. Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap
wajib diqada’ (diganti), dalam nisbah dan kadar yang sama, iaitu satu hari
tertinggal bersamaan dengan satu hari qada’. Jumlah fidyah meningkat mengikut
tahun, tetapi bilangan puasa tetap sama.
Habis, kenapa perlu bayar fidyah kalau tak bebas hutang?
Bayar fidyah adalah kerana lewat mengqada’. Sama seperti konsep kad kredit,
lewat bayar kena denda, tapi hutang lama masih perlu diselesaikan.
Persoalan yang kelima, apakah sebab selain lewat, yang
mewajibkan kita wajib membayar fidyah?
Ibu mengandung yang tidak berpuasa kerana bimbang zat
makanan anak di dalam kandungan, serta ibu yang menyusukan anak yang tidak
berpuasa kerana bimbang kekurangan susu di dalam badan.
Keadaan ini berbeza dengan ibu mengandung yang menghadapi
kesukaran atau risiko atau sebarang keuzuran syarie, di mana ibu itu hanya
perlu mengqada’ sahaja tanpa perlu membayar fidyah.
Cara Kira Fidyah
Contoh mudah (seperti yang dinyatakan di awal artikel) :
Tinggal puasa 1 hari tahun lepas, bayar 1 cupak.
Tinggal puasa 2 hari tahun lepas, bayar 2 cupak.
Tinggal puasa 1 hari 2 tahun lepas, bayar 2 cupak.
Tinggal puasa 2 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
Tinggal puasa 1 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas,
bayar 3 cupak.
Tinggal puasa 2 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas,
bayar 4 cupak.
Kesimpulannya, darabkan jumlah hari dengan jumlah tahun lalu
(berasingan mengikut tahun) dan kemudian tambahkan kesemua tahun-tahun ini,
maka dapatlah jumlah cupaknya.
SUMBER : Soleh.Net

xpernah culas gnti puasa...Alhamdulillah
ReplyDeletePernah kena bayar fidyah tapi kita g pusat zakat...minta diorg kirakan dan terus bayar...
ReplyDeletetq rara..
ReplyDeletesgt2 membantu..mmg ade yg xbeganti lg ni..huwaaa...